“PN Dah Rosak, Buat Apa Bersatu Nak Kekal?” – Bidas Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Tindakan Bersatu yang masih mahu kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dipersoalkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, susulan kenyataan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mendakwa gabungan itu sudah ‘rosak’.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan Muhyiddin mengumumkan hasrat membentuk gabungan politik baharu turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar Bersatu dalam PN.

Beliau berkata, jika PN benar-benar dianggap sudah terpesong dan tidak lagi seperti asas penubuhannya, tidak timbul keperluan untuk Bersatu terus berada dalam gabungan berkenaan.

“Kalau PN sudah rosak dan dirosakkan oleh PAS seperti yang didakwa Muhyiddin, mengapa Bersatu masih mahu berada dalam gabungan yang dikatakan rosak itu?

“Apabila beliau sendiri menyatakan PN sudah rosak, sukar untuk difahami bagaimana Bersatu masih mahu bersama parti-parti dalam gabungan tersebut,” katanya memetik Sinar Harian.

Kontroversi mengenai kedudukan Bersatu dalam PN tercetus selepas Muhyiddin ketika melancarkan jentera pilihan raya Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan mendakwa PN kini menjadi ‘toksik’ kerana sudah menyimpang daripada prinsip asal penubuhannya.

Pada PRN Negeri Sembilan, Bersatu bertanding menggunakan lambang parti itu sendiri meskipun statusnya masih sebagai komponen PN.

Dalam pilihan raya berkenaan, PN bertanding di 11 kerusi manakala sekutunya, Barisan Nasional (BN), bertanding di 25 kerusi.

Kerjasama BN-PN akhirnya memperoleh 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus melepasi jumlah diperlukan untuk membentuk majoriti dua pertiga, manakala baki 11 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, status Bersatu dalam PN terus menjadi tanda tanya apabila Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam menegaskan parti itu masih merupakan komponen gabungan berkenaan.

Kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mendakwa Bersatu secara automatik tidak lagi menjadi ahli PN.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, memaklumkan parti berkenaan bercadang membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi mendapatkan penjelasan berhubung kedudukan dan status Bersatu dalam PN.

BBerkaitan

Latest articles