PN-BN Akan Duduk Semeja Bincang PRN Melaka, Bersatu Tidak Terlibat

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) dijangka membuka meja rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan strategi serta pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang, namun perbincangan itu tidak akan membabitkan Bersatu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan bersama BN belum dimulakan secara rasmi, tetapi persetujuan pada peringkat asas sudah dicapai dan perbincangan dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Menurutnya, formula rundingan di Melaka tidak semestinya mengikut pendekatan yang digunakan PN dan BN dalam PRN Negeri Sembilan sebelum ini memandangkan kedudukan politik kedua-dua gabungan di negeri itu mempunyai perbezaan tersendiri.

“Rundingan setakat ini belum bermula, namun secara asasnya kita bersetuju untuk mengadakan rundingan dan kita akan laksanakannya dalam waktu terdekat,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Muktamar Tahunan PAS ke-72, malam tadi.

Takiyuddin berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah kedudukan kerusi DUN serta kekuatan politik setiap parti, termasuk status kerusi Rembia yang kini disandang wakil rakyat yang telah menyertai PAS.

Katanya, PN ketika ini tidak mempunyai kerusi DUN di Melaka, namun mempunyai wakil di peringkat Parlimen, justeru faktor berkenaan turut akan menjadi asas dalam menentukan strategi menghadapi PRN.

“Sebagai contoh, kita tiada kerusi di DUN, tetapi kita ada kerusi Parlimen di Melaka.

“Semua perkara itu akan kita jadikan asas dalam perbincangan, termasuk sama ada BN mahu mengekalkan 20 atau 21 kerusi serta kedudukan DUN Rembia,” katanya.

Perkembangan itu berlaku ketika kedudukan Bersatu dalam PN masih menjadi persoalan susulan kenyataan berhubung pembentukan gabungan politik baharu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN selepas mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam menegaskan Bersatu masih merupakan komponen dalam gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut mengulas dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah memulakan rundingan tidak rasmi dengan BN Melaka bagi menghadapi PRN negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia sekadar strategi politik.

“Saya tiada maklumat dan isu ini belum lagi timbul. Kita tidak tahu sama ada perkara itu betul atau tidak.

“Itu kena tanya UMNO. Kalau UMNO kata betul, barulah kita fikirkan kemudian. Mungkin juga ia hanya gimik politik,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil dilaporkan mengesahkan bahawa beberapa rundingan sudah diadakan dengan BN berkaitan kemungkinan kerjasama menghadapi PRN Melaka.

Menurut Fahmi, Ketua PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim turut mengadakan komunikasi secara langsung dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kemungkinan pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles