KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan secara tidak adil kepada kerajaan negeri adalah tidak berasas.
Beliau berkata, berdasarkan rekod semasa, hampir semua negeri menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan pada kadar yang lebih tinggi berbanding purata hasil yang dikutip oleh negeri masing-masing.
Menurut Anwar, hanya Selangor dan Pulau Pinang merupakan pengecualian berikutan kedua-dua negeri itu mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh serta menjana hasil yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.
“Semua negeri memperoleh peruntukan lebih tinggi berbanding sebelumnya dan melebihi purata hasil cukai yang mereka kutip, kecuali Selangor serta Pulau Pinang.
“Kedua-dua negeri itu berada pada kedudukan yang strategik dan mempunyai hasil yang tinggi, menyebabkan nilai peruntukan Persekutuan yang diterima adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan purata hasil negeri berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar mengulas pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta penjelasan mengenai dakwaan bahawa peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak diagihkan secara adil serta tidak seimbang dengan jumlah hasil yang dikutip daripada negeri-negeri terbabit.
Jelas beliau, kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat di setiap negeri dalam menentukan agihan peruntukan, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah hasil yang disumbangkan oleh sesebuah negeri kepada Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan itu memastikan setiap negeri terus menerima sokongan kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan pembangunan dan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.










