PM, Menteri Kewangan Akan Bincang Isu i-Citra

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperhalusi cadangan pengeluaran kali terakhir wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dengan menambah perbincangan tersebut melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Asyraf Wajdi berkata, perkara itu dinyatakan Perdana Menteri kepada beliau dalam perbincangan mereka selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, malam tadi.

Katanya, dalam perbincangan itu, beliau memberi penjelasan kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO bahawa ramai berada dalam keadaan susah dan terdesak pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memulakan kehidupan akibat dibuang kerja, pemotongan gaji, cuti tanpa gaji serta hilang punca pendapatan sejak awal tahun lagi.

Dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak, katanya, rata-rata sangat memerlukan pengeluaran buat kali terakhir untuk kelangsungan hidup, bahkan ada yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Saya turut mencadangkan, mungkin untuk pengeluaran kali terakhir ini diberikan pilihan kepada yang memang benar-benar berkeperluan mendesak yang memerlukan mereka membuat permohonan dan terhad kepada yang mempunyai baki mencukupi.

“Hakikatnya, YAB PM juga mengakui keperluan tersebut dan membaca setiap komen-komen di media sosial beliau yang memperlihatkan ramai memberikan maklum balas serupa mengenai isu i-Citra KWSP ini. Beliau menyatakan kepada saya untuk beliau berbincang dan membawa perkara ini kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul agar dapat diperhalusi cadangan yang dikemukakan,” katanya dalam laman Facebook beliau malam tadi.

BBerkaitan

Latest articles