KUALA LUMPUR, — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan merujuk kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung status dua Ahli Parlimennya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad selepas kedua-duanya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keluar daripada parti.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, parti itu telah menerima rakaman ucapan Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa berhubung keputusan berkenaan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan Fasl 9(1)(c) Perlembagaan PKR, keanggotaan kedua-dua pemimpin itu tergugur susulan pengisytiharan keluar parti.
“Pengisytiharan itu juga bertepatan dengan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kerusi Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan sekiranya seseorang ahli tidak lagi menjadi anggota parti politik yang diwakilinya ketika dipilih,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, perkara itu akan dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat bagi menentukan status kedua-dua Ahli Parlimen tersebut berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, PKR turut memaklumkan akan menentukan status keanggotaan beberapa Ahli Parlimen PKR lain yang hadir dalam program sama.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen serta keluar daripada PKR.










