BANGI: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussin, menolak dakwaan bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, diketepikan daripada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
Beliau berkata, dokumen dan rekod prosiding menunjukkan Madinah telah dipanggil untuk hadir memberi keterangan pada 3 Jun 2022, selepas sepina dikeluarkan terhadapnya.
Justeru, katanya, tidak timbul isu Madinah tidak diberikan ruang untuk menjelaskan perkara yang berkaitan dengan siasatan tersebut.
Rashid menjelaskan, permintaan Madinah supaya hadir bersama Dr Mona Othman, yang ketika itu merupakan Timbalan Pengarah Audit Kewangan, bagaimanapun tidak dapat dipenuhi.
Menurutnya, perkara itu berkaitan dengan tatacara RCI yang menghendaki saksi memberikan keterangan secara individu dan bukannya secara bersama.
“Rekod menunjukkan beliau telah dipanggil dan mempunyai peluang untuk memberikan keterangan.
“Selain itu, beliau turut menjawab 75 soalan secara bertulis dan jawapan tersebut dikemukakan menerusi akuan berkanun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, hari ini.
Rashid berkata, jawapan bertulis berkenaan diterima pada 1 April 2022 dan telah dimasukkan ke dalam rekod prosiding sebagai pernyataan saksi.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Madinah sebelum ini yang dilaporkan melahirkan kekecewaan kerana tidak berpeluang hadir secara langsung untuk memberi keterangan kepada RCI, meskipun bersedia berbuat demikian.
Madinah merupakan Ketua Audit Negara bagi tempoh 2017 hingga 2019.
Sementara itu, Rashid berkata TH kini berada di peringkat akhir dalam usaha memperkemas dan memperkukuh kedudukan institusi berkenaan.
Katanya, pelbagai usaha dalaman telah dilaksanakan sejak sekitar setahun lalu dengan matlamat memastikan TH terus berfungsi sebagai institusi kewangan Islam yang kukuh dan diyakini.
Beliau berkata, kebanyakan perkara yang menjadi tumpuan dalaman TH telah ditangani dan kini hanya beberapa langkah terakhir perlu diselesaikan.
“Usaha ini sudah berjalan kira-kira setahun dan dari perspektif dalaman TH, perkara asasnya bukan lagi satu masalah.
“Sekarang perhatian saya tertumpu kepada langkah terakhir untuk memastikan institusi ini terus diperkukuh,” katanya.
Rashid berkata proses berkenaan tidak boleh dilakukan oleh TH secara bersendirian kerana ia turut memerlukan penyelarasan serta penglibatan beberapa pihak berkepentingan.
Beliau menegaskan, matlamat akhirnya adalah untuk memastikan TH kekal stabil, profesional dan berupaya menjalankan amanahnya dengan sebaik mungkin, khususnya dalam melindungi kepentingan pendeposit.










