KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Yazid menyeru semua pihak agar menitipkan belas ihsan dan menghormati ruang peribadi Menteri di Jabatan Persekutuan, Hannah Yeoh yang kini berdepan ujian penceraian.
Mastura yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkata, walaupun mereka berbeza ideologi politik, beliau amat memahami cabaran besar yang terpaksa ditempuhi seorang wanita dalam arena kepimpinan yang disifatkannya sebagai dunia yang keras.
“Sebagai seorang ahli politik wanita yang melalui kerasnya dunia politik dan kepimpinan, saya memahami bahawa cabaran yang sedang beliau hadapi bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya untuk seorang ahli politik wanita.
“Apa pun sebab di sebalik perceraian beliau dan suami, tiada siapa berhak menghukum atau mengadili sebuah kehidupan yang tidak kita jalani dan luka yang tidak kita rasai,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan bahawa ketika seseorang berdepan ujian peribadi, sifat kemanusiaan dan belas ihsan sepatutnya mengatasi perbezaan politik, selain menegaskan media sosial tidak seharusnya dijadikan medan perbicaraan tanpa sempadan.
“Dunia politik sudah cukup keras, apatah lagi apabila media sosial menjadi medan perbicaraan tanpa henti dan tanpa sempadan.
“YB Hannah, saya mendoakan anda dan dua anak perempuan diberikan kekuatan, ketenangan serta yang terbaik dalam melangkah ke hadapan. Jaga diri,” tambahnya.
Terdahulu, pejabat Hannah mengesahkan bahawa menteri berkenaan telah bercerai dengan suaminya, M Ramachandran selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga, dan memohon agar ruang diberikan kepada keluarga terbabit buat masa ini.










