KUALA LUMPUR: Usaha mengenal pasti nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan selepas bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal kini dipergiat apabila 25 keluarga waris sudah menyerahkan sampel DNA kepada pihak berkuasa.
Wakil Solidariti Malaysia: Famili Dalam Harapan (MASFIH), Dr R Manivanna, berkata proses pengambilan sampel itu penting bagi membolehkan padanan identiti dibuat sekiranya jasad mangsa ditemukan.
Beliau sendiri antara waris yang telah memberikan sampel DNA bersama empat ahli keluarganya bagi membantu proses berkenaan.
Katanya, adiknya, Komathi Rethinam, 48, masih belum dapat dikesan selepas berkunjung ke kawasan Gunung Kailash di Tibet, China bagi mengikuti upacara keagamaan.
“Polis datang ke rumah kami di Cheras semalam untuk mengambil sampel. Lima ahli keluarga menyerahkan sampel, termasuk ibu bapa, anak mangsa dan dua adik-beradik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Manivanna, sebahagian waris turut diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi menjalani proses pengambilan DNA, dengan pengumpulan sampel daripada semua keluarga disasarkan selesai minggu ini.
Bukan sekadar sampel DNA, waris juga diminta menyediakan barangan peribadi mangsa seperti berus gigi, sikat rambut dan berus maskara yang boleh digunakan bagi tujuan pengecaman.
Maklumat berkaitan pakaian terakhir, jenama barangan, telefon bimbit, kasut serta tanda fizikal pada tubuh mangsa turut dikumpulkan sebagai data sokongan.
“Semua maklumat ini penting untuk membantu proses pengecaman jika jasad yang ditemukan belum dikenal pasti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Manivanna berkata beliau dimaklumkan Kementerian Luar akan menghantar pasukan rasmi ke Kathmandu bagi mengukuhkan bantuan konsular serta urusan di lapangan.
Katanya, kehadiran pasukan berkenaan amat diperlukan bagi mendapatkan perkembangan secara terus, selain membantu proses pengecaman mangsa di hospital dan lokasi penyimpanan jasad.
Sebelum ini, Kementerian Luar menggalakkan waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan menjalani ujian DNA sebagai langkah persediaan susulan penemuan beberapa jasad yang belum dikenal pasti.
Keadaan itu turut menjadi lebih mendesak apabila sebahagian jasad terpaksa dikebumikan segera berikutan kekurangan fasiliti penyimpanan yang sesuai.
Bencana banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu turut mengakibatkan rakyat Malaysia di China dan Nepal gagal dihubungi.
Setakat ini, 36 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan di China, manakala 55 lagi di Nepal.
Agensi Anadolu sebelum ini melaporkan jumlah korban akibat bencana berkenaan meningkat kepada 1,220 orang, dengan 4,762 individu, termasuk 844 warga asing, masih dilaporkan hilang.










