Pilihan Raya Melaka Hilang Seri Tanpa Shamsul Iskandar – Sayuti Omar

KUALA LUMPUR: Ketiadaan bekas Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai satu kehilangan yang menjejaskan kemeriahan suasana politik negeri itu.

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, Shamsul Iskandar yang pernah dikenali sebagai ‘giant killer’ dalam politik kini dilihat semakin terpinggir susulan kes rasuah yang dihadapinya.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, situasi itu memperlihatkan bagaimana kedudukan seseorang dalam politik boleh berubah apabila berdepan kontroversi, meskipun belum didapati bersalah oleh mahkamah.

Menurutnya, Shamsul Iskandar sebelum ini aktif dalam beberapa program pelancaran jentera pilihan raya peringkat cabang bersama Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd Halim.

Bagaimanapun, Sayuti mempersoalkan sama ada Shamsul Iskandar hadir atau dijemput ke majlis penamaan calon Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung baru-baru ini, selepas tidak melihat kelibatnya dalam siaran langsung atau gambar yang dikongsikan di media sosial.

Beliau turut menyentuh keputusan yang menyaksikan Shamsul Iskandar kehilangan beberapa jawatan dalam kerajaan dan parti selepas dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut Sayuti, walaupun seseorang berdepan kesilapan atau pertuduhan, jasa serta pengorbanan yang pernah dicurahkan tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja.

Beliau berkata, masyarakat perlu membezakan antara kesilapan seseorang dengan jasa dan sumbangannya, selain mengamalkan sikap menghargai budi.

Mengulas suasana kempen PRN Melaka, Sayuti berpandangan ketiadaan Shamsul Iskandar turut mengurangkan tarikan kempen, khususnya ketika mendengar ceramah dan pidatonya yang terkenal dengan gaya penyampaian petah serta penggunaan pantun Melayu.

BBerkaitan

Latest articles