Pihak Yang Sogok Duit Kepada Pengundi Guna Nama Allah Perlu Disiasat

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan terhadap semua petisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengenai salah laku sogokan wang termasuk berkaitan rakaman video tular yang membuktikan amalan merasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa hairan bagaimana parti yang baru setahun jagung ditubuhkan boleh menjadi begitu mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Asyraf menambah, sayap berkenaan turut mengucapkan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula mengambil tindakan menangkap suspek yang terlibat dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan yang diluluskan dalam tempoh darurat ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dahulu.

“Khabarnya lebih ramai lagi yang akan ditahan dan diambil tindakan. Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh Darurat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

“Barangkali mungkin sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa!” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Pehimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf Wajdi juga mengingatkan pihak-pihak berkenaan dengan prinsip keberkatan, dimana kemenangan yang diperoleh dengan cara yang salah dan tidak diredai tuhan belum tentu memberikan natijah kebaikan yang berkekalan.

“Sesungguhnya kekalahan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Jangan di mulut sahaja melaung-laungkan Islam tetapi perbuatannya kufur nikmat dan melanggar aturan Tuhan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menggesa agar SPRM dan Peguam Negara memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion-bilion wang rakyat di sebalik slogan Bersih dan Stabil yang dicanang-canangkan.

Beliau berharap agar amalan pilih kasih dan pendakwaan terpilih yang menyebabkan ramai tokoh politik yang menjadi mangsa penganiayaan dan penghinaan serta dimalukan selama bertahun-tahun tidak lagi berlaku.

Malah, Pemuda UMNO mahu kerajaan menubuhkan segera suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi mengambil tindakan keras atas segala pendedahan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang jelas wujudnya pendakwaan terpilih malah campur tangan politik dalam badan kehakiman negara.

“Pemuda UMNO juga ingin mencadangkan agar semua pemimpin pemimpin UMNO yang telah dibebaskan oleh mahkamah agar bersepakat menyaman Tommy yang terbukti berniat jahathanya untuk memalukan dan merosakkan reputasi UMNO dengan pendakwaan politik terpilih.

“Biar menjadi pengajaran bahawa Melayu-UMNO ini bangsa yang tidak pernah tunduk kepada ugutan, tidak mengemis belas kasihan, tidak melutut kepada kezaliman!” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles