More

    Pihak Ingkar Larangan Meredah Jalan Yang Ditutup Akibat Banjir Akan Dikenakan Tindakan Undang-Undang

    Pemandu atau mana-mana pihak yang melanggar larangan supaya tidak meredah air banjir akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

    Ketua Polis Negeri Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, pihak polis tidak akan berkompromi lagi dengan mereka yang meredah air banjir walaupun papan tanda amaran sudah diletakkan.

    Ada beberapa kes di negeri itu, pemandu mengambil risiko meredah jalan yang sudah dinaiki air walaupun jalan itu sudah ditutup dan ada lencongan disediakan sebagai jalan alternatif.

    “Kita tidak akan bagi peluang dan memaafkan mana-mana individu yang berdegil dan ingkar dengan arahan diberikan.

    “Sebelum ini, kita tidak ambil apa-apa tindakan namun selepas ini tindakan akan diambil mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat papan tanda.

    “Bagi kesalahan itu, individu yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300,” katanya seperti laporan portal BH Online hari ini.

    BACA JUGA : 8,653 Polis Bantu Operasi Banjir – Hamzah

    Beliau berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan menyampaikan sumbangan kepada pegawai dan anggota yang terjejas akibat banjir.

    Roslee berkata, tindakan undang-undang diambil susulan beberapa kes meredah banjir dan laluan yang ditutup sehingga ada yang hanyut bersama kenderaan dan ia jelas mendatangkan bahaya kepada mereka.

    Katanya, masih ada segelintir pihak mengambil risiko walaupun pelbagai peringatan diberikan bukan sahaja daripada pihak polis namun pihak berkuasa yang lain.

    “Kita berulang kali mengingatkan pemandu atau penunggang tidak mengambil risiko walaupun laluan itu adalah jalan yang biasa dilalui sebelum ini.

    “Air banjir ini biasanya keruh dan kita tidak nampak keadaan sebenar jalan yang mungkin sudah runtuh atau rosak disebabkan banjir seterusnya berbahaya untuk pengguna jalan raya,” katanya.

    Sehingga kini, sebanyak tiga kes kenderaan meredah banjir direkodkan dengan semua kes berlaku di daerah Kemaman.

    Kejadian terbaharu berlaku kelmarin apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan air di bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini