KUALA LUMPUR: UMNO mempersoalkan tindakan menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak meskipun bayaran denda RM50 juta yang menjadi syarat pengampunan bersyarat bekas perdana menteri itu sudah dilunaskan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan keputusan serta titah Yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan perlu dihormati dan dilaksanakan selaras dengan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mempersoalkan asas penangguhan pelaksanaan tahanan rumah selepas syarat pembayaran denda diselesaikan.
“Tuanku melalui Lembaga Pengampunan telahpun membuat keputusan dan menitahkan syarat-syarat yang telahpun dipenuhi. Apa keperluan untuk menangguhkan lagi pelaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan?” katanya.
Asyraf turut menyifatkan sebarang usaha melengahkan pelaksanaan titah berkenaan sebagai penderhakaan serta pencabulan hak yang dijamin Perlembagaan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini berpandangan pelaksanaan tahanan rumah perlu ditangguhkan sementara bagi memperincikan persoalan undang-undang berkaitan interpretasi perintah pengampunan bersyarat dan kesan perintah order of discharge.
AGC menjelaskan, isu utama membabitkan status baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International serta implikasinya terhadap hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditetapkan bermula selepas hukuman SRC International selesai.
Menurut AGC, penangguhan itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya memastikan pelaksanaannya dibuat secara tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang.
Perkembangan itu menyusuli kenyataan peguam Najib, Farhan Shafee, bahawa Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap anak guamnya selepas denda RM50 juta dilunaskan. UMNO sebelum ini turut mengesahkan parti itu telah menjelaskan denda berkenaan.
Najib mula dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum pengampunan diraja pada Januari 2024 mengurangkan tempoh penjara serta jumlah denda kepada RM50 juta.
Pada September tahun ini, Najib menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda serta pematuhan syarat yang ditetapkan.










