8,653 Polis Bantu Operasi Banjir – Hamzah

Seramai 8,653 pegawai dan anggota polis daripada enam kontinjen negeri telah dilibatkan bagi membantu operasi banjir, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu.

Beliau dalam kenyataan pada Rabu berkata, enam kontinjen berkenaan ialah Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu selain sebanyak 1,329 pelbagai aset kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diatur gerak.

Hamzah berkata, berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara), Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah bergerak secara bersepadu dalam menghadapi dan membantu mangsa berikutan banjir yang sedang melanda negara ketika ini.

Selain itu, beliau berkata seramai 1,662 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di enam negeri iaitu Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu serta ditugaskan di pusat pemindahan sementara.

“Sebanyak 59 aset kenderaan Rela telah diatur gerak melibatkan 23 kenderaan utiliti sukan jenis SUV, tujuh kenderaan darat pacuan empat roda, dua lori, lapan kereta peronda jenis MPV, 10 (kereta) sedan dan sembilan van,” katanya.

Hamzah berkata, aset-aset strategik seperti pesawat udara AW 139 dan bot-bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersedia untuk diatur gerak bagi operasi membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

BBerkaitan

Latest articles