Karnival Deepavali ke-24 Tarik Hampir 200,000 Pengunjung, Himpun 700 Peniaga

KUALA LUMPUR: Karnival Deepavali Ke-24 Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya menarik hampir 200,000 pengunjung sepanjang penganjurannya, sekali gus menjadi platform penting kepada usahawan kecil dan peniaga tempatan menjana pendapatan sempena perayaan itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata karnival anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd itu menghimpunkan hampir 700 peniaga di bawah khemah, dengan menawarkan pelbagai barangan, makanan, minuman serta keperluan sambutan Deepavali.

Beliau berkata penganjuran karnival berkenaan yang memasuki edisi ke-24 tahun ini turut mendapat sambutan pengunjung dari luar negara termasuk Medan, Singapura dan Australia.

“Saya sudah berjalan dan melawat banyak kedai. Perniagaannya memang sangat bagus. Saya juga mendapat maklum balas positif daripada peniaga kecil yang mahu karnival ini diadakan berulang kali.

“Saya memang bangga dengan kejayaan Jaggarao menganjurkan karnival ini melalui Agenda Suria Communication,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke karnival berkenaan di sini hari ini.

Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Agenda Suria Communication Sdn Bhd, Jaggarao Simancha, atas usaha berterusan menganjurkan acara berkenaan sejak 24 tahun lalu.

Menurutnya, karnival yang berlangsung selama lapan hingga sembilan hari itu bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat membuat persiapan perayaan, malah turut menarik pelancong asing yang datang ke Malaysia untuk mengunjungi acara berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan melihat bentuk bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan bagi menyokong hampir 700 peniaga yang mengambil bahagian dalam karnival itu.

Karnival Deepavali Ke-24 Tahun 2026 berlangsung dari 30 Okt hingga 7 Nov ini di kawasan tempat letak kereta terbuka B, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perkembangan lain, Ramanan memaklumkan Kabinet bersetuju menyalurkan bantuan sekali bayar sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir.

Beliau berkata pembayaran bantuan itu akan dilaksanakan mengikut turutan waris seperti yang ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Raveendran Nair a/l K. Kesavan, mendapatkan butiran lanjut daripada Kementerian Kewangan dan NADMA sebelum waris yang disenaraikan dipanggil untuk urusan selanjutnya.

“Semua 54 orang yang disenaraikan mengikut peruntukan NADMA akan kita ikut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles