Takiyuddin: Isu Tahanan Rumah Najib Tidak Ganggu Kempen BN-PN Di Melaka

HANG TUAH JAYA: Isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak akan menggugat kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata hak setiap individu berkaitan pengampunan yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dihormati tanpa menimbulkan pertikaian.

“Tidak ada apa-apa yang perlu dipertikaikan,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran manifesto bersama BN-PN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), petang tadi.

Isu itu timbul susulan kenyataan peguam Najib, Farhan Shafee, bahawa Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap bekas presiden UMNO itu selepas denda RM50 juta dilunaskan.

UMNO sebelum ini mengesahkan parti itu telah menyelesaikan bayaran denda berkenaan.

Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta, dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, pengampunan diraja pada Januari 2024 mengurangkan tempoh penjara serta denda kepada RM50 juta.

Pada September tahun ini, Najib menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda dan pematuhan syarat ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin menyifatkan manifesto bersama BN-PN bagi PRN Melaka sebagai komprehensif dan mampu dilaksanakan berdasarkan rekod pencapaian pentadbiran negeri sebelum ini.

Beliau berkata manifesto itu merangkumi keperluan rakyat Melaka secara menyeluruh, tanpa mengabaikan mana-mana kelompok masyarakat.

“Saya melihat tidak ada aspek penting yang tertinggal dalam manifesto ini.

“Saya rasa manifesto ini memenuhi kehendak rakyat Melaka yang berjumlah kira-kira 1.06 juta orang, daripada bayi hingga warga emas,” katanya.

Takiyuddin turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara BN dan PN mampu memperkukuh sokongan pengundi serta memberikan mandat kepada gabungan itu pada PRN Melaka.

BBerkaitan

Latest articles