PH Tawar Jawatan MB Perak, PN Tak Tawar Apa-apa – Saarani

KUALA KANGSAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan penggabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) bentuk kerajaan Persekutuan kerana BN terdesak mahukan jawatan Menteri Besar.

Katanya, BN bersedia menjadi pembangkang kerana menyedari hakikat parti itu kalah di Perak.

Saarani turut berkata, bukan BN mahukan jawatan sebaliknya PH menawarkan kedudukan itu sekiranya BN setuju membentuk kerajaan campuran Perak PH-BN.

“BN bersedia menjadi pembangkang sebab kami sedar diri yang kita kalah. Tetapi bila ada mana-mana parti (PH) yang tawarkan kami untuk bentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah semestinya saya kena terima.

“Kalau tak terima, tentu ahli (BN) akan kata saya bodoh… Betul tak? Tapi (dan) peranan yang ia bagi itu (Menteri Besar) sesuai pada saya sebab saya (sebelum ini) adalah orang yang mengendalikan agenda Perak Sejahtera 2030 , jadi saya nak teruskannya dan sebab itu saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 yang berlangsung di Istana Iskandariah, di sini, petang tadi.

Saarani berkata demikian, mengulas kenyataan segelintir penganalisis politik yang mendakwa BN memilih PH berbanding Perikatan Nasional (PN) adalah kerana hendakkan jawatan Menteri Besar.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu BN Perak menerima tawaran PH berhubung jawatan Menteri Besar berbanding dari Perikatan Nasional (PN) yang tidak sempat mengadakan pertemuan empat mata, bagi berunding serta diberikan sebarang peranan.

“Berbanding PN, mereka tidak datang berjumpa saya untuk berunding atau diberi sebarang peranan. Jadi, sebab itu saya pilih PH.

“Memang pada awal pagi 20 November (semalam) saya ada dikunjungi Setiausaha Perhubungan PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tetapi dia hanya diberikan mandat untuk menguruskan perjumpaan antara saya dengan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi PN Perak).

“Zainol tidak boleh buat apa-apa ketika itu (mengemuka tawaran). Tetapi pada jam 10 pagi semalam sebelum hadir mesyuarat Biro Politik UMNO, saya berjumpa Peja dan Zainol dan maklumkan pada mereka bahawa saya sudah diberi tawaran oleh PH, seterusnya menyarankan agar mereka pula mengemuka tawaran.

“Namun, tiada apa-apa tawaran saya terima daripada mereka, sedangkan DUN serta kerajaan Perak perlu segera wujud bagi membolehkan bajet kerajaan negeri diluluskan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles