KUALA LUMPUR: Kegagalan Pakatan Harapan (PH) menangkis naratif bahawa gabungan itu gagal menunaikan janji, selain terus bergantung kepada pendekatan kempen yang disifatkan lapuk, dikenal pasti antara faktor utama kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin yang menyifatkan PH memasuki gelanggang pilihan raya tanpa strategi kempen yang jelas, khususnya dalam menguasai medan media sosial dan menyelaras gerak kerja secara menyeluruh.
Menurutnya, kelemahan paling ketara ialah kegagalan PH menepis persepsi negatif berkaitan isu “janji tidak ditunaikan”, sekali gus membolehkan naratif berkenaan terus mempengaruhi pengundi.
Beliau berkata, pendekatan kempen PH juga tidak tersusun dan dilihat seolah-olah membuka ruang kepada hampir sesiapa sahaja untuk berkempen bagi pihak gabungan itu, termasuk individu yang berpotensi memberi kesan negatif terhadap imej parti.
“Satu-satunya kelayakan yang dilihat ialah keupayaan berucap,” katanya sambil menegaskan pilihan raya bukan medan untuk ahli politik membuktikan kehebatan berdebat semata-mata.
Hanipa turut mengkritik kebergantungan PH terhadap kaedah ceramah mega yang menurutnya sudah tidak lagi relevan kerana kebanyakannya hanya menarik kehadiran “pelancong politik”, bukannya pengundi tempatan.
Katanya, kehadiran orang ramai dalam ceramah mungkin memberi gambaran sokongan besar, namun hakikatnya ia sekadar mewujudkan suasana “syok sendiri” yang menutup kelemahan sebenar di peringkat akar umbi.
“Ramai hadir kerana mahu mendengar ucapan dan bergambar dengan pemimpin popular, tetapi ia tidak semestinya diterjemahkan kepada undi,” katanya.
Mengulas kejayaan Barisan Nasional (BN), Hanipa berkata, strategi gabungan itu menampilkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai wajah utama kempen terbukti berjaya memanfaatkan populariti beliau di negeri berkenaan.
“Ia berfungsi dengan sempurna,” katanya.
Pada PRN Johor semalam, PH hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi yang ditandinginya, manakala BN mencatat kemenangan besar dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi yang ditandingi.










