KOTA MELAKA: Kegagalan Pakatan Harapan (PH) memperlihatkan gerak kerja kempen yang agresif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menimbulkan gambaran seolah-olah gabungan itu sudah berputus asa untuk mencabar dominasi lawan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisommudin Bakar berkata, momentum kempen PH ketika ini dilihat lesu dan tidak menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan sokongan pengundi, sebaliknya seakan-akan sekadar menunggu keputusan pada hari pengundian, 14 November ini.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding pendekatan kempen PH ketika menghadapi pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Beliau turut melihat kelemahan sama dalam kempen media sosial PH, selain usaha memperkenalkan calon kepada pengundi lebih banyak bergantung kepada gerak kerja individu berbanding kekuatan jentera gabungan.
Menurutnya, PH juga dilihat terlalu tertumpu kepada usaha mempertahankan sokongan pengundi bukan Melayu dan kawasan bandar sehingga kempen mereka kurang menembusi kelompok pengundi di luar lingkungan sokongan tradisi.
“Dengan ketiadaan naratif induk yang jelas, agak sukar untuk PH menandingi kekuatan kempen pihak lawan,” katanya memetik temubualnya di program Skop MG.
Mengulas pemerhatian di lapangan, beliau berkata, hasil temu bual mendapati pengundi masih sukar mengenal pasti isu utama yang dibawa PH untuk mencabar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, jentera BN di peringkat akar umbi menunjukkan semangat serta moral yang tinggi, khususnya di beberapa kawasan termasuk Ayer Limau, Lendu dan Rembia.
Mengulas pengaruh pengundi muda yang melebihi 45 peratus daripada keseluruhan pengundi di Melaka, Mohamad Hisommudin berkata, kegagalan PH mendekati kelompok itu secara berkesan boleh memberi kesan kepada pola pengundian.
Katanya, terdapat perbezaan ketara antara maklumat politik yang diterima golongan muda menerusi media sosial dengan realiti kekuatan jentera parti yang mereka lihat apabila pulang ke kawasan masing-masing.
Beliau bimbang kelesuan kempen itu turut melemahkan semangat penyokong PH untuk keluar mengundi, sekali gus menjejaskan peluang gabungan berkenaan dalam PRN kali ini.
Dalam pada itu, mengulas sama ada isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak dan peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan mampu memberi kelebihan kepada PH, beliau berpandangan isu nasional tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan di peringkat negeri.
Katanya, dapatan temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan fokus mendapati sebahagian anak muda mengetahui isu membabitkan Najib menerusi media sosial serta mempunyai pandangan kritikal terhadap BN.
Bagaimanapun, penerimaan terhadap isu berkenaan tidak mencukupi sekiranya PH gagal menyediakan jentera yang kuat untuk mendekati dan menyantuni mereka apabila pulang ke kampung.
“Pengundi di Melaka mahukan isu lokal, bukannya isu luar. Jadi, pada saya, isu nasional tidak memberi kesan di Melaka,” katanya.










