DAP, AMANAH Dan Majlis Peguam Perlu Rujuk Anwar, Bukan Pertikai Istana

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi pihak pertama dirujuk sekiranya timbul persoalan mengenai pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, bukannya institusi diraja dijadikan medan polemik politik.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemimpin DAP, AMANAH serta Majlis Peguam seharusnya mendapatkan penjelasan daripada Anwar berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Anwar sendiri pernah membawa permohonan pengampunan Najib ke dalam agenda Mesyuarat Lembaga Pengampunan ketika persidangan Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024.

Onn Hafiz turut menyelar tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan beberapa pemimpin DAP yang didakwanya berulang kali mencetuskan kontroversi berkaitan institusi diraja.

Menurutnya, tindakan mengaitkan istana dengan pertikaian politik merupakan sesuatu yang tidak wajar, malah tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa.

Beliau mengingatkan bahawa Tony Pua sebelum ini juga pernah berdepan siasatan polis berhubung kenyataannya mengenai titah Sultan Selangor.

“Institusi diraja tidak sepatutnya dijadikan sasaran polemik politik. Kebiadaban dan penderhakaan kepada raja tidak boleh dinormalisasikan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menegaskan bahawa hak memohon pengampunan terpakai kepada setiap banduan, manakala kuasa memberikan pengampunan terletak di bawah prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, proses berkenaan turut melibatkan Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil Kerajaan Persekutuan serta Peguam Negara.

Beliau berkata, Sultan Ibrahim sebelum ini telah memperjelas bahawa perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib tidak menimbulkan sebarang kekaburan dan perlu dipatuhi.

Sehubungan itu, Onn Hafiz mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang masih menggesa orang ramai mengemukakan persoalan kepada istana, sedangkan penjelasan mengenai pelaksanaan perintah berkenaan boleh diperoleh daripada pihak berkaitan.

“Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak bertanggungjawab. Jangan pula istana dijadikan sasaran pertikaian politik.

“Jangan terlalu ghairah berpolitik sehingga lupa prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.

Sebelum ini, Tony Pua dilaporkan didakwa mempersenda institusi Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengampunan bersyarat Najib.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan supaya semua banduan diberi peluang menjalani separuh tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman diteruskan menerusi tahanan rumah.

Pada masa sama, Majlis Peguam mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib atas alasan perintah itu didakwa bercanggah dengan Perlembagaan serta tidak mempunyai asas dalam undang-undang negara.

BBerkaitan

Latest articles