Anwar: GST Tidak Akan Diperkenalkan Kerana Bebankan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI tidak bercadang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem percukaian itu disifatkan membebankan rakyat secara menyeluruh, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbandingan hasil kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini dengan GST pada 2017 menunjukkan tiada alasan untuk menganggap pelaksanaan semula GST mampu meningkatkan hasil kerajaan.

Menurutnya, hasil kutipan SST ketika ini bersamaan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar sama yang dicatatkan GST pada 2017.

“Jadi tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa memperkenalkan GST itu akan menambahkan hasil.

“Tapi berbezanya, itu andaiannya GST itu enam peratus, tapi enam peratus membebankan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How di Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar menjelaskan, perbezaan utama kedua-dua sistem percukaian itu adalah SST dikenakan kepada golongan peniaga, manakala GST merupakan cukai menyeluruh yang turut melibatkan pengguna.

“Jadi saya tak faham mengapa kita pejuang-pejuang rakyat ini nak suruh cukai kepada rakyat.

“GST itu cukai kepada rakyat terbanyak. SST cukai kepada peniaga,” katanya.

Beliau turut membandingkan jumlah barangan yang dikecualikan daripada kedua-dua sistem percukaian berkenaan, dengan SST mengecualikan kira-kira 2,000 barangan berbanding GST yang hanya melibatkan sekitar 750 barangan.

Menurutnya, sebanyak 700,000 perniagaan terkesan dengan pelaksanaan GST pada 2018, berbanding hanya 130,000 perniagaan di bawah SST pada tahun ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan MADANI tidak bercadang memperkenalkan semula GST kerana mengambil kira kesannya terhadap rakyat dan perniagaan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perbahasan terbuka mengenai perbezaan GST dan SST boleh diadakan bagi membolehkan rakyat memahami pendekatan kedua-dua sistem percukaian itu.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan GST hanya boleh dipertimbangkan apabila pendapatan rakyat meningkat ke tahap lebih tinggi supaya pelaksanaannya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

“Saya tahu kalau enam peratus memang membebankan.

“Bila pendapatan rakyat keseluruhannya meningkat, RM4,000 minimum, dan kita kenakan GST itu munasabah,” katanya.

Mengulas kedudukan hutang negara, Anwar berkata, defisit fiskal negara menunjukkan trend penurunan secara konsisten daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada unjuran 3.3 peratus pada 2027.

Beliau berkata, jumlah pinjaman baharu kerajaan juga menunjukkan penurunan daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM76.8 bilion pada 2024 serta RM75.6 bilion pada 2025.

Menurutnya, nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK turut menunjukkan penurunan daripada 65.2 peratus sebelum ini kepada 64 peratus pada 2026, dengan unjuran 63 peratus pada 2027.

Anwar berkata, peningkatan hutang negara sebelum ini turut dipengaruhi keperluan kerajaan menangani kesan pandemik Covid-19, selain mengambil kira kaedah pengiraan yang kini merangkumi komitmen agensi luar belanjawan.

Beliau menegaskan, pinjaman baharu kerajaan ketika ini lebih rendah berbanding sebelumnya dan digunakan bagi tujuan pembangunan negara.

Dalam masa sama, kerajaan masih perlu menanggung perbelanjaan besar termasuk RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion bagi kenaikan gaji penjawat awam serta lebih RM40 bilion untuk subsidi.

“Jadi orang tengok RM40 bilion tambah, RM18 bilion gaji tambah, kemudian RM16 bilion SARA STR, tapi masih kita kawal kerana kita elak daripada kebocoran yang berlaku,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles