PH Ambil Sikap Siaga, Tidak Tolak Kemungkinan DUN Johor Dibubar Jun Ini

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) memberi bayangan sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu tidak mahu mengambil mudah spekulasi politik yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Menurutnya, PH akan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku sebarang perkembangan termasuk pembubaran DUN Johor.

“Kita bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan dakwaan bahawa satu sidang khas DUN Johor bakal berlangsung pada 24 Jun depan yang dipercayai menjadi platform pengumuman pembubaran DUN bagi membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.

Spekulasi berhubung pilihan raya negeri lebih awal kembali memuncak selepas tersebar mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa sidang khas tersebut sudah dijadualkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Namun begitu, beberapa pemimpin BN dan UMNO Johor meminta orang ramai supaya tidak terus mempercayai mesej tular berkenaan kerana belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai pembubaran DUN.

Sebagai rekod, tempoh pentadbiran semasa DUN Johor hanya akan tamat pada April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

BBerkaitan

Latest articles