KUALA LUMPUR – Kejayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperoleh hak pembangunan sebuah telaga gas yang disenaraikan antara yang terbesar di dunia di Turkmenistan disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pencapaian penting yang mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.
Menurut Anwar, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kemampuan Petronas sebagai syarikat tenaga bertaraf global, malah menggambarkan kepercayaan negara luar terhadap kestabilan politik, keamanan serta perpaduan yang dinikmati Malaysia ketika ini.
Beliau berkata, perjanjian yang dimeterai antara Petronas dan kerajaan Turkmenistan semasa lawatan rasminya ke negara Asia Tengah itu membuka ruang kepada syarikat nasional berkenaan untuk terlibat dalam pembangunan medan gas utama di negara yang memiliki antara rizab gas terbesar di dunia.
“Pencapaian ini menunjukkan keyakinan negara luar terhadap Malaysia, hasil keamanan, perpaduan rakyat serta komitmen tinggi syarikat seperti Petronas dan tenaga profesional tempatan yang bekerja keras membangunkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn Bhd di Bandar Cassia Technology Park, Pulau Pinang, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut perlu menjadi pemangkin semangat kepada rakyat untuk terus meningkatkan daya saing negara melalui disiplin, kesungguhan dan pendekatan positif dalam pembangunan ekonomi.
Perjanjian berkenaan dimeterai susulan lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Turkmenistan pada 18 dan 19 Jun lalu atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov. Lawatan itu juga merupakan kunjungan balas selepas Berdimuhamedov mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2024.
Lawatan berkenaan merupakan yang pertama dilakukan Anwar ke Turkmenistan sejak memegang jawatan Perdana Menteri dan yang kelima melibatkan ketua kerajaan Malaysia ke negara tersebut.
Petronas mula bertapak di Turkmenistan sejak 1996 dan hubungan kerjasama yang terjalin sejak itu terus berkembang kukuh, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan sama, Anwar menyambut baik kehadiran serta pengembangan operasi syarikat teknologi antarabangsa di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang yang semakin mendapat pengiktirafan sebagai hab utama industri semikonduktor dan teknologi tinggi di rantau ini.










