KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang terlibat dalam pementasan tular baru-baru ini yang didakwa mempersendakan Rukun Negara serta mencuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus segera mengenal pasti penganjur, individu yang terlibat, lokasi sebenar pementasan berserta status kewarganegaraan mereka agar isu tersebut tidak terus menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat di media sosial.
Menurut beliau, sekiranya pementasan tersebut berlangsung di luar negara seperti yang dikhabarkan di London, pihak berkuasa termasuk Peguam Negara, Wisma Putra, dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom perlu segera mendapatkan fakta lengkap serta meneliti bidang kuasa perundangan Malaysia yang terpakai.
“Menteri Perpaduan sendiri telah menyatakan bahawa siasatan perlu mengambil kira Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menyiasat aspek penyebaran kandungan tersebut kepada khalayak di Malaysia di bawah Seksyen 4 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mempunyai peruntukan mengenai pemakaian wilayah dan luar wilayah.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut mendesak kerajaan supaya tidak teragak-agak mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan di bawah Perkara 25(1)(a) Perlembagaan Persekutuan sekiranya terbukti warganegara Malaysia terlibat dan perbuatan mereka memenuhi ambang undang-undang sebagai individu yang menunjukkan sikap tidak taat setia (disloyal or disaffected towards the Federation).
“Inilah punca kuasa Perlembagaan yang tersedia dan kerajaan tidak seharusnya takut menggunakannya apabila syarat undang-undang dipenuhi,” ujarnya.
Beliau mengingatkan bahawa Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai falsafah kebangsaan untuk membina perpaduan dan kehidupan bernegara, sekali gus menegaskan bahawa kebebasan berkarya bukanlah lesen untuk bebas daripada undang-undang.










