KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan sentiasa menjadi teras utama dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Beliau menjelaskan bahawa tiada individu, kerajaan, ataupun institusi yang berada di atas undang-undang negara ini.
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara, di mana semua pihak tertakluk kepada peruntukan yang terkandung di dalamnya.
Mengulas lanjut mengenai isu kuasa pengampunan, Azalina menjelaskan bahawa kuasa tersebut bukanlah satu bentuk kuasa di luar undang-undang, sebaliknya ia diperuntukkan secara nyata di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
“Maka, tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan ini sebagai tindakan ‘mengatasi undang-undang’,” jelasnya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua perkara yang berbeza.
“Mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan serta hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan yang sah berkaitan pengampunan, tunda hukuman, atau lega hukuman,” jelasnya.
Tambah beliau, kewujudan kuasa pengampunan di dalam Perlembagaan tidak bermaksud keputusan mahkamah ditepikan atau seseorang individu itu berada di atas undang-undang.
Sehubungan itu, setiap institusi diingatkan supaya sentiasa bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan, di mana peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara, serta Menteri yang berkaitan harus dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur yang ditetapkan, bukannya menerusi tafsiran atau persepsi politik semata-mata.
Menggariskan pendiriannya, Azalina merumuskan tiga perkara utama yang perlu dipegang iaitu
menghormati keputusan mahkamah, menghormati Perlembagaan, serta menghormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang, atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta, serta proses yang sebenar, bukannya kenyataan politik.
“Tiada siapa yang berada di atas undang-undang, dan tiada siapa yang berada di atas Perlembagaan,” tegasnya.










