KUALA LUMPUR: Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan telah mengemukakan saman fitnah terhadap personaliti media sosial, Caprice.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan dan bekas Menteri Ekonomi itu, tindakan undang-undang berkenaan diambil susulan dakwaan yang dilemparkan oleh Caprice pada Februari lalu kononnya beliau terlibat dalam amalan rasuah berkaitan satu projek swasta.
Jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu, kes berkenaan kini sedang berjalan di mahkamah dan merupakan kali pertama beliau bertindak menyaman individu lain sepanjang penglibatannya dalam arena politik.
“Sebenarnya dah lama saya saman Caprice atas tuduhan itu. Kes sedang berjalan di mahkamah. Ini kali pertama saya saman seseorang.
“Sebelum ini, macam-macam orang fitnah atau tuduh, saya jawab dan saya tak saman sebab kebanyakan daripada mereka ini rakyat biasa, saya serahkan kepada Allah.
“Tapi tuduhan Caprice itu adalah yang pertama kali menuduh saya makan rasuah.
“Berpuluh tahun saya dalam politik, tak pernah ada orang lain, hatta dari lawan politik seperti UMNO atau PAS yang tuduh saya makan rasuah,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya.
Hantaran berkenaan dibuat Rafizi susulan laporan media minggu ini berhubung keputusan mahkamah yang memihak kepada penceramah bebas, Ebit Lew dalam satu kes saman fitnah terhadap Caprice.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan bahawa projek swasta yang dikaitkan oleh Caprice dalam dakwaan berkenaan langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan beliau mahupun kementerian yang pernah diterajuinya sebelum ini.
Beliau turut membidas kritikan pelbagai pihak yang sebelum ini menuduh dirinya tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap personaliti media sosial berkenaan.
Sehubungan itu, Rafizi menyerahkan sepenuhnya perjalanan kes berkenaan kepada pihak peguam dan proses perundangan di mahkamah untuk tindakan selanjutnya.










