KUALA LUMPUR: Masyarakat Cina, India, Sabah, Sarawak, Orang Asli serta komuniti lain di Malaysia boleh terus mengekalkan identiti masing-masing, sambil membina identiti bersama yang semakin kukuh sebagai rakyat Malaysia.
Peguam kanan, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, keadaan itu merupakan bentuk integrasi yang sepatutnya difahami dalam konteks pembinaan negara.
Menurut beliau, kewarganegaraan bersama, kerangka Perlembagaan, institusi negara, tanggungjawab bersama serta masa depan yang dikongsi seharusnya menjadi asas yang menyatukan rakyat Malaysia.
“Perbezaan kita tidak semestinya perlu dihapuskan untuk menjadikan Malaysia lebih kuat.
“Malah, jika difahami dengan betul, kepelbagaian boleh menjadi salah satu kekuatan kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Jahaberdeen, yang juga merupakan pengasas Yayasan Rapera, berkata al-Quran turut mengajak manusia untuk melihat kepelbagaian, memahaminya, belajar melaluinya dan akhirnya mengenali hakikat bahawa manusia berkongsi nilai kemanusiaan yang sama.
Jahaberdeen berkata, sekiranya terdapat pihak yang beranggapan bahawa pendekatan asimilasi mampu menarik sokongan majoriti Melayu-Muslim, pandangan tersebut perlu dinilai semula berdasarkan prinsip Islam.
“Jika mengambil al-Quran secara serius, umat Islam mempunyai alasan yang kukuh untuk berhati-hati terhadap mana-mana ideologi yang menuntut penghapusan kepelbagaian manusia secara tidak perlu, sedangkan Allah sendiri menyatakan bahawa kepelbagaian itu diciptakan-Nya,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha memperkukuh perpaduan nasional, membina identiti Malaysia yang kukuh, menuntut kesetiaan kepada negara serta menghormati kerangka Perlembagaan tidak semestinya memerlukan penghapusan identiti budaya masyarakat.
“Kesatuan tidak bermaksud keseragaman.
“Malaysia tidak perlu memusnahkan kepelbagaiannya untuk menjadi sebuah negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau secara berseloroh namun tegas menasihatkan seorang profesor supaya tidak membawa nilai yang disifatkannya sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.
“Pada hemat saya, saya akan menasihati profesor ini, dengan cara yang mesra, supaya berhenti mengetengahkan nilai yang tidak Islamik,” katanya.










