Pelajar Wanita 19 Tahun Maut Dipercayai Dicekik Teman Lelaki

KUANTAN: Pertengkaran antara sepasang kekasih berakhir tragis apabila seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah di Air Putih, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.32 pagi itu, teman lelaki mangsa yang juga berusia 19 tahun menghubungi polis selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata mangsa ditemui terbaring di atas katil di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Suspek ditahan di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ashari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Katanya, polis turut akan merakam keterangan saksi dan mengesan individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles