Malaysia Mahu Semua Pelarian Myanmar Dihantar Pulang, Bukan Setakat 5,000

PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan berhenti pada penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar yang dipersetujui kerajaan negara itu untuk diterima, sebaliknya menyasarkan proses berkenaan diteruskan sehingga semua yang layak dapat dihantar pulang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata jumlah 5,000 individu itu bukan kuota yang ditetapkan kerajaan, sebaliknya merupakan kumpulan awal yang dipersetujui untuk diterima pulang oleh Myanmar.

Beliau berkata, setakat ini seramai 1,476 warga Myanmar telah dihantar pulang menerusi fasa pertama pada 29 September lalu, manakala lebih 3,000 lagi masih berada di Malaysia untuk proses penghantaran seterusnya.

“Ini proses yang berterusan, bukan setakat 5,000 ini sahaja. Kita tidak ada tetapkan kuota. Kalau boleh kita nak semua balik,” katanya pada sidang media operasi khas, hari ini.

Menurut Zakaria, berdasarkan rekod kad yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), jumlah pelarian berdaftar di Malaysia kini melebihi 200,000 orang.

Daripada jumlah itu, hampir separuh dianggarkan merupakan warga Myanmar.

Pada 29 September lalu, Malaysia melaksanakan penghantaran pulang fasa pertama membabitkan 1,476 tahanan warga Myanmar menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Kumpulan terbabit terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun.

Mengulas pelaksanaan fasa kedua, Zakaria berkata Jabatan Imigresen masih menunggu maklum balas Wisma Putra sebelum rundingan lanjut dengan kerajaan Myanmar dapat diteruskan.

“Kita (Malaysia) akan teruskan rundingan dengan kerajaan Myanmar,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria mengakui jumlah sebenar pelarian yang berada di Malaysia masih belum dapat ditentukan dengan tepat kerana kerajaan ketika ini bergantung kepada data pemegang kad UNHCR.

Katanya, keadaan itu antara sebab kerajaan memperkenalkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai jumlah serta identiti pelarian di negara ini.

“Saya tidak boleh bagi anggaran (jumlah), sebab itu kita laksanakan DPP. Tujuan utama DPP ini untuk kenal pasti berapa sebenarnya jumlah pelarian yang berada di negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, dilaporkan berkata DPP yang mula dilaksanakan awal tahun ini merupakan sistem pendaftaran rasmi bagi pelarian di Malaysia.

Inisiatif berkenaan bertujuan menangani risiko keselamatan selain memperkemas pengurusan data pelarian, selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23.

BBerkaitan

Latest articles