KUALA LUMPUR: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyasarkan untuk memulakan operasi komersial Fasa Satu antara Kota Bharu dan Gombak pada pertengahan Disember ini, dengan tambang dijangka diumumkan bulan ini sebelum penjualan tiket dibuka seawal November.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Kementerian Pengangkutan dijangka mengumumkan kadar tambang perkhidmatan berkenaan selepas mendapat kelulusan kerajaan.
Menurutnya, kemampuan pengguna menjadi antara pertimbangan utama dalam penetapan tambang, dengan kadar yang dirancang lebih rendah berbanding tiket penerbangan tetapi sedikit lebih tinggi daripada tambang bas.
“Kita akan meletakkan harga perkhidmatan ECRL di antara harga tiket penerbangan dan tiket bas.
“Kita melihat ECRL sebagai perkhidmatan yang lebih premium. Kita akan menyediakan pengangkutan yang lebih selesa dan lebih berdaya harap berbanding bas,” katanya pada taklimat kesiapsiagaan operasi ECRL bersama pengarang media.
Darwis berkata, MRL turut menyasarkan penjualan tiket dapat dimulakan pada November bagi memberikan tempoh lebih awal kepada pengguna untuk merancang perjalanan sebelum operasi komersial bermula.
MRL menyasarkan tahap ketepatan jadual antara 95 hingga 99 peratus, selain mahu memastikan tambang yang ditawarkan kekal mampu milik serta memberi nilai setimpal kepada penumpang.
Bagi peringkat awal operasi, ECRL dirancang menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis, melibatkan enam perjalanan bagi setiap arah.
Daripada enam perkhidmatan bagi setiap arah itu, dua merupakan perkhidmatan ekspres manakala empat lagi perkhidmatan transit.
Bagi Jumaat hingga Ahad, MRL merancang menambah kekerapan
Berdasarkan pelan operasi semasa, ECRL dijangka menawarkan sehingga 2.2 juta tempat duduk setahun, manakala kapasiti jajaran membolehkan kekerapan ditingkatkan sehingga 24 perjalanan sehari sekiranya permintaan meningkat.
Perkhidmatan pertama dicadangkan bermula antara 6.30 hingga 7.30 pagi, manakala tren terakhir dijangka tiba sebelum tengah malam.
TIGA JAM 19 MINIT GOMBAK-KOTA BHARU
Darwis berkata, tahap kesiapsiagaan ECRL turut ditunjukkan menerusi prestasi Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT) yang baru-baru ini melengkapkan perjalanan tanpa henti sejauh 519 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh tiga jam 19 minit.
Tren berkenaan mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam sepanjang perjalanan itu.
Menurutnya, perjalanan berkenaan menunjukkan kemampuan ECRL menyediakan perkhidmatan ekspres menerusi laluan Gombak-KotaSAS-Kuala Terengganu-Kota Bharu dalam tempoh kurang empat jam.
Mengambil kira hentian serta keperluan operasi sepanjang jajaran, tempoh perjalanan sekitar empat jam antara Gombak dan Kota Bharu dilihat boleh dicapai.
Ia sekali gus berpotensi memendekkan perjalanan antara kedua-dua destinasi itu berbanding kira-kira tujuh jam menggunakan jalan raya.
MRL juga berpuas hati dengan kemajuan Fasa Satu ECRL dari Kota Bharu ke Gombak yang telah mencapai 98.16 peratus setakat September, sekali gus memberi keyakinan sasaran memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini dapat dicapai.
SAMBUT BAIK SAMBUNGAN RANTAU PANJANG
Dalam pada itu, MRL menyambut baik keputusan dasar kerajaan untuk menyambung jajaran ECRL dari Tunjong ke Rantau Panjang yang dilihat mampu meningkatkan mobiliti penumpang selain membuka potensi baharu bagi perkhidmatan kargo rentas sempadan.
Cadangan sambungan itu melibatkan jajaran kira-kira 32 kilometer dari Tunjong ke Rantau Panjang melalui Pasir Mas.
“Kita menyambut baik cadangan dan keputusan kerajaan untuk membuat sambungan dari Kota Bharu hingga ke Rantau Panjang.
“Apabila ada penyambungan ECRL dari Tunjong hingga Rantau Panjang yang melibatkan 32 kilometer, ia akan membantu dari segi mobiliti penumpang,” katanya.
Keseluruhan ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung.










