JOHOR BAHRU: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencapai 26.43 peratus setakat jam 11 pagi, mengatasi kadar yang direkodkan pada waktu sama semasa PRN Johor 2022.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan semua pusat mengundi di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan beroperasi sehingga jam 6 petang sebelum proses pengiraan undi dimulakan.
Berdasarkan statistik terkini SPR, DUN Tanjung Surat merekodkan kadar keluar mengundi tertinggi dengan 34.4 peratus, diikuti Rengit (33.6 peratus) dan Semarang (33.2 peratus).
Sebaliknya, tiga kawasan yang mencatatkan kehadiran pengundi paling rendah setakat ini ialah Penggaram (19.6 peratus), Bentayan (19.9 peratus) dan Maharani (21.9 peratus).
Sebagai perbandingan, peratusan keluar mengundi pada jam 11 pagi ketika PRN Johor 2022 hanya berada pada 21.33 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan penyertaan pengundi pada pilihan raya kali ini.
Semalam, SPR menjangkakan kadar keseluruhan keluar mengundi mampu mencecah sekitar 70 peratus, mengambil kira sambutan dan minat tinggi rakyat sepanjang tempoh berkempen yang disifatkan mencerminkan kesediaan mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pada PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi keseluruhan direkodkan sebanyak 54.9 peratus, iaitu yang terendah dalam sejarah pilihan raya negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seramai 2.73 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor kali ini yang diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 1 Jun lalu.
Walaupun penggal DUN sepatutnya berakhir secara automatik pada April tahun depan, desas-desus mengenai pembubaran lebih awal mula bertiup sejak Mei apabila beberapa pemimpin politik secara terbuka membincangkan kemungkinan PRN diadakan lebih awal, selain timbul perebutan kerusi yang bakal ditandingi.
Dalam PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi dan Muda satu kerusi.










