MELAKA: “Melayu yang terancam sekarang ini adalah merupakan Melayu yang sakau, yang curi, yang rompak, yang mentedarah, yang samun, yang salah guna dan yang sapu duit rakyat.”
Itu penegasan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kedudukan Melayu dan Islam terancam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, dakwaan mengenai Melayu dan Islam terancam perlu disertakan dengan bukti serta disenaraikan secara jelas, bukannya sekadar dijadikan modal politik.
“Saya nak cabar kepada kepimpinan UMNO Barisan Nasional (BN), saya nak cabar kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), tolong kamu senaraikan 1, 2, 3 hingga 10 mana dia Melayu terancam di atas muka bumi Malaysia yang kita cintai ini.
“Kamu kata Islam terancam, tolong bariskan 1, 2, 3 hingga 10 bila kamu menyatakan bahawa Islam terancam,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini malam tadi.
Sany berkata, keadaan di Melaka juga menunjukkan Islam masih bebas diamalkan apabila terdapat masjid, surau, kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), selain bilal, siak serta ustaz.
“Pernah kita dengar DAP larang untuk kita sembahyang Jumaat? Ada kita dengar DAP bantah untuk kita menganjurkan program-program ceramah? Ada kita dengar DAP bantah untuk kita menganjurkan program-program tazkirah?
“Jadi di mananya yang kata bahawa Islam itu terancam?” katanya.
Dalam pada itu, Sany turut mempertikaikan pendekatan pihak tertentu yang menurutnya sering memainkan naratif mengenai ancaman terhadap Melayu dan Islam ketika berkempen.
Menurutnya, PH sebaliknya membawa pendekatan politik nilai dan prestasi dalam pentadbiran dengan memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
Beliau mengambil contoh pentadbiran Selangor di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, yang menurutnya tidak lagi mempunyai hutang dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan negeri berkenaan turut menyediakan pelbagai program bantuan menerusi inisiatif Selangor Penyayang untuk manfaat rakyat.
“Pernah kita dengar ada orang cakap Menteri Besar yang ada depan kita ni sakau duit rakyat Negeri Selangor? Ada? Kita dengar dia rompak? Ada kita dengar dia samun? Ada dengar dia sapu? Ada dengar dia sakau?
“Tak ada. Tapi Islam terancam, Melayu terancam, Raja-raja terancam di bawah Pakatan Harapan,” katanya.
Sany turut mempersoalkan naratif bahawa peningkatan gaji guru KAFA di Pulau Pinang daripada RM1,500 kepada RM1,700 mengancam kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam.
Sebaliknya, beliau berkata peningkatan pendapatan golongan berkenaan perlu dilihat daripada sudut pencapaian dan kebajikan rakyat.
Dalam perkembangan sama, Sany berkata pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menunjukkan beberapa perkembangan positif dari aspek ekonomi dan pelaburan.
Beliau mendakwa ringgit semakin mengukuh, pelaburan negara semakin meningkat dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin baik.
Katanya, pendekatan politik berteraskan integriti, prestasi dan nilai perlu diteruskan bagi memastikan kepentingan rakyat terbela.
“Sebab itu tuan-tuan dan puan-puan, cukuplah untuk kita bagi kepada mereka untuk mentadbir Negeri Melaka ini.
“Inilah dia bila pimpinan-pimpinan kita mempamerkan suatu budaya politik integriti, politik prestasi dan juga politik nilai yang terdapat di dalam negara kita,” katanya.










