‘Jangan Bodohkan Orang Melaka Isu Istilah Sakau’ – Adly Sindir Akmal

MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menyindir Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh supaya tidak cuba membangkitkan sentimen kaum dengan mempertikaikan penggunaan istilah ‘sakau’ dalam isu Tabung Haji (TH).

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, istilah berkenaan tidak seharusnya dijadikan bahan untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH.

“Bila Perdana Menteri kata ada sakau dalam Tabung Haji, apa dia kata? Dia kata dalam RCI itu tak ada satu pun perkataan sakau.

“Eh janganlah bodohkan sangat orang Melaka ni. Tidaklah sebodoh sangat kita begitu kerana istilah itu, sepatutnya orang Melayu, orang Melaka paling tahu perkataan sakau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini malam tadi.

Adly berkata, isu TH sepatutnya dilihat dari sudut amanah dan tadbir urus kerana ia membabitkan wang simpanan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, rakyat tidak seharusnya dialihkan perhatian dengan sentimen berkaitan Melayu, Islam dan institusi Raja-raja Melayu setiap kali kelemahan pentadbiran dibangkitkan.

“Setakat nak membina rasa kebencian antara satu kaum dengan kaum yang lain, siapa pun boleh bangkitkan. Tapi realitinya tidak begitu.

“Saya kalau nak main sentimen kaum, saya boleh main sentimen kaum di Melaka ini. Tapi itu bukan perjuangan kita. Kita kalau nak rasa kebencian, kita boleh bangunkan kebencian,” katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata, PH membawa mesej berkaitan tadbir urus kerana sebarang ketirisan wang negara akhirnya memberi kesan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau berkata, isu TH bukan sekadar isu umat Islam kerana kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan besar bagi memastikan institusi berkenaan dapat terus beroperasi dan dipulihkan.

“Sebahagian daripada kita mungkin menganggap Tabung Haji adalah isu umat Islam. Tapi bila kita lihat segala perbahasan di Parlimen itu, di mana kerajaan terpaksa menyediakan hampir RM20 bilion untuk memastikan bahawa Tabung Haji itu boleh pergi ke hadapan.

“Dan dana itu adalah dana rakyat yang bukan sahaja melibatkan orang Islam, tapi melibatkan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Adly turut mendakwa laporan RCI Tabung Haji menunjukkan wujud isu berkaitan pengaruh politik dalam pengurusan dan pelaburan institusi berkenaan.

Katanya, kerugian yang berlaku tidak boleh dilihat hanya dari sudut kepentingan satu kaum kerana kesan ketirisan wang negara akan dirasai seluruh rakyat.

“Kalau orang Melayu lemah, orang Cina juga akan terima kesan dia. Sebab apa? Sebab dalam negara kita, kelemahan mana-mana kaum akan memberikan kesan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Tabung Haji sebagai amanah besar umat Islam kerana ia merupakan tabungan untuk membolehkan pendeposit menunaikan Rukun Islam kelima.

“Dia adalah tabungan terbesar di kalangan umat Islam. Dia amanah yang paling besar!

“Tapi bila kita cakap soal Melayu, bila kita cakap soal Raja-raja, bila kita cakap soal Islam, mereka bisu tentang Tabung Haji,” katanya.

Mengulas politik berasaskan sentimen kaum dan agama, Adly berkata pendekatan sedemikian tidak sepatutnya digunakan untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau mendakwa sentimen bahawa PH mengancam Melayu, Islam dan institusi Raja-raja Melayu sering dimainkan bagi mempengaruhi pengundi.

“Seolah-olah kerjasama kita, perpaduan yang kita bina ini adalah satu ancaman kepada kaum Melayu. Seolah-olah perpaduan yang kita bina ini adalah ancaman kepada Islam.

“Seolah-olah perpaduan yang kita bina ini adalah ancaman kepada Raja-raja Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adly turut menyeru golongan muda di Melaka supaya tidak terpengaruh dengan politik yang menurutnya hanya bertujuan membangkitkan kebencian antara kaum.

Beliau berkata, pemimpin politik sepatutnya memberikan tumpuan kepada persoalan pembangunan, kebajikan rakyat dan tadbir urus yang baik.

“Saya minta terutamanya orang muda Negeri Melaka, jangan rendahkan diri kita kerana kesannya adalah kepada kita.

“Kalau kita ada Ketua Pemuda yang macam ini, dia pilih yang mana boleh memenangkan parti sahaja, boleh memenangkan UMNO sahaja, apa maknanya perjuangan ini?” katanya.

BBerkaitan

Latest articles