Tak Suka Presiden Myanmar, Tapi Tetap Kena Sambut – Mohamad Sabu

MELAKA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui beliau tidak menyukai Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, namun tetap hadir menyambut pemimpin negara itu atas tuntutan tugas sebagai anggota Kabinet.

Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Ahli Parlimen Kota Raja berkata, beliau termasuk dalam senarai menteri yang perlu menyambut Presiden Myanmar ketika lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia.

“Saya pun memang tak suka kepada presiden Myanmar ini. Tengok-tengok masuk dalam senarai nama menteri yang kena sambut dia.

“Saya pun pagi tadi pergilah bersama Perdana Menteri dan Datuk Seri Mohamad Hasan, tentulah Menteri Luar, Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri, bersama Perdana Menteri menyambut Presiden Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini malam tadi.

Menurutnya, keputusan kerajaan untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar bukan bermakna Malaysia mengetepikan isu penindasan dan konflik di negara berkenaan, sebaliknya pertemuan itu digunakan bagi membincangkan kepentingan Malaysia.

Mohamad berkata, antara perkara utama yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan empat mata dengan Min Aung Hlaing ialah usaha membawa pulang warga Myanmar dari Malaysia.

“Dalam pertemuan pertama tadi, Presiden Myanmar mengaku dia menerima trip yang awal ini 10,000 orang untuk dihantar balik ke Myanmar.

“Ini keberanian Perdana Menteri kita. Antarabangsa hantam dia, dalam negeri hantam dia kerana nak bertemu dengan junta tentera ini. Tapi pertemuan itu untuk apa?” katanya.

Beliau berkata, rundingan berkenaan penting bagi menangani isu keberadaan warga Myanmar di Malaysia, termasuk kebimbangan berkaitan pekerjaan, keselamatan dan kehidupan rakyat tempatan.

Menurutnya, isu penghantaran pulang itu tidak terhenti pada kumpulan pertama, sebaliknya rundingan lanjut akan dilakukan oleh Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Mohamad berkata, kerajaan perlu berani mengambil pendekatan diplomasi walaupun berdepan kritikan daripada pihak dalam dan luar negara sekiranya ia boleh menghasilkan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memaklumkan lebih 10,493 warga dan petugas Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal melalui penerbangan dan kapal tentera laut setakat 8 Oktober 2026, manakala penghantaran seterusnya akan dirundingkan antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar.

Sementara itu, Mohamad turut menyentuh isu Tabung Haji dengan menegaskan bahawa masalah penyelewengan dan rasuah tidak seharusnya dilihat berdasarkan kaum.

Katanya, wang kerajaan yang digunakan untuk membantu menyelamatkan institusi berkenaan merupakan wang rakyat daripada pelbagai latar belakang, justeru isu tadbir urus Tabung Haji boleh dibincangkan oleh semua pihak.

“Jangan bila ada orang bukan Islam bercakap hal Tabung Haji, kita kata, ‘Tak boleh, ini hak urusan orang Islam.’

“No! Duit negara digunakan untuk menyelamatkan Tabung Haji ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles