PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memberi lampu hijau kepada Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman membabitkan pemberhentian 47 pertuduhan jenayah terhadap beliau.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Hashim Hamzah, selepas mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
Hashim berkata, persoalan utama yang perlu diputuskan ialah ambang kebenaran bagi semakan kehakiman apabila kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar.
Menurut beliau, ambang berkenaan perlu diterapkan secara berdisiplin, berhati-hati dan dengan batasan yang jelas kerana ia menyentuh kuasa Peguam Negara.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali mendapati kedua-dua pemohon memenuhi syarat kebenaran di bawah Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Badan Peguam untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid dalam kes Yayasan Akal Budi.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadapnya.
Badan Peguam kemudiannya memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan berkenaan, sekali gus membawa isu kuasa Peguam Negara itu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.










