Peningkatan Kepada 1.09 Juta Rakyat Jadi Penagih Membimbangkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan gusar dengan peningkatan jumlah penagih dadah di negara ini, dengan ketika ini jumlah yang dicatat adalah anggaran 1.09 juta.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada jumlah tersebut seramai 1,051,712 adalah lelaki dan 45,696 orang adalah wanita.

“Saya melahirkan rasa kebimbangan apabila melihat statistik anggaran jumlah penagih dadah keseluruhan meningkat kepada 1,097,408 orang penagih,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) bilangan satu tahun ini, di Perdana Putra, hari ini.

Dari jumlah itu juga, penagih berumur antara 15 hingga 29 tahun melibatkan seramai 328,640 orang.

“Dapatan satu kajian oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 yang menunjukkan bahawa bagi setiap 100 orang belia di negara ini, 6 orang mengaku pernah mengambil dadah, manakala 4 orang mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan pada 2022,” katanya ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi tempoh tiga bulan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mengusahakan koordinasi di antara beberapa agensi yang berkaitan agar bersama-sama berganding bahu merangka, menyusun inisiatif atau program yang efektif dan bermanfaat.

Katanya, langkah itu diambil agar gejala dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan di samping mengusahakan pemulihan kepada penagih dadah sedia ada.

“Mesyuarat juga bersetuju bagi memastikan pemerkasaan undang- undang diperkukuhkan bagi mencegah penyalahgunaan dadah ini di semua peringkat. Keberkesanan tentang penguatkuasaan undang- undang di dalam negara juga akan diperhalusi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara tuntas,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles