SHAH ALAM: Polis sudah merakam percakapan dua saksi utama bagi membantu siasatan kes membabitkan dakwaan cabul dan liwat terhadap dua kanak-kanak lelaki yang dikaitkan dengan seorang pekerja sebuah kolej di Glenmarie.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, dua individu terbabit ialah pengadu dan bapa kepada suspek, manakala rakaman percakapan beberapa lagi saksi berkaitan sedang diatur bagi melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek telah berkhidmat di kolej berkenaan sejak kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati pihak pengurusan kolej dipercayai tidak membuat semakan rekod jenayah ketika proses pengambilan pekerja, menyebabkan mereka tidak mengetahui suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan seksual.
Susulan itu, polis akan mengambil keterangan daripada pihak pengurusan kolej bagi mengesahkan perkara berkenaan serta mendapatkan maklumat tambahan yang boleh membantu siasatan.
Sarudin berkata, suspek kini masih direman sementara polis meneruskan siasatan, termasuk melengkapkan rakaman percakapan saksi, mengumpul bukti digital dan mendapatkan laporan perubatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Semalam, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa cabul dan liwat oleh seorang pekerja di tempat mereka bersekolah.
Perbuatan itu didakwa berlaku di tandas asrama serta di rumah suspek, sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami trauma.










