SUBANG JAYA: Pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah, mengesyaki keletihan pada struktur logam atau metal fatigue mungkin menjadi punca insiden roller coaster di Sunway Lagoon yang menyebabkan 10 pengunjung cedera, malam Sabtu lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa yang sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Menurut Jeffrey, insiden berkenaan amat dikesali, namun beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pihak polis tidak mengesan sebarang unsur sabotaj atau perbuatan khianat berkaitan kejadian tersebut.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu membabitkan 22 pengunjung berusia antara 11 hingga 44 tahun, terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong asing.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, sebelum ini mengesahkan 10 individu mengalami kecederaan ringan.
Kejadian itu turut mencetuskan perhatian selepas beberapa rakaman video tersebar di media sosial.
Salah satu rakaman menunjukkan seorang wanita dibawa menggunakan pengusung melalui tangga berhampiran landasan roller coaster, manakala video lain memaparkan orang ramai berkumpul di sekitar kawasan permainan terbabit.
Beberapa anggota polis dan kakitangan taman tema turut dilihat berada di lokasi dalam rakaman berkenaan.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah, menggesa penjelasan menyeluruh diberikan berhubung insiden tersebut selain mencadangkan supaya siasatan bebas dijalankan bagi memastikan aspek keselamatan pengunjung diteliti.










