KUALA LUMPUR: Negara kehilangan seorang tokoh sastera yang sukar dicari penggantinya apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said meninggal dunia pada usia 94 tahun, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian tokoh yang mesra disapa Pak Samad itu sebagai kehilangan besar, terutama terhadap dunia seni, kesusasteraan dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja dikenali menerusi karya sastera yang dihasilkan sejak 1955, malah seorang pencinta ilmu yang tekun membaca serta mempunyai komitmen tinggi dalam mendidik masyarakat.
Menurut Anwar, beliau turut mempunyai kenangan tersendiri bersama Allahyarham, khususnya ketika menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh apabila Pak Samad sentiasa memastikan karya-karyanya dikirimkan kepadanya.
“Kenal dia sahabat setia, saya ingat sepanjang saya di Sungai Buloh itu semua karya-karya dia pastikan dikirim kepada saya dan dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera dan juga pendidik bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, malam tadi.
Anwar yang tiba kira-kira jam 10.50 malam bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut membaca surah Yasin serta memberikan penghormatan terakhir bersama ahli keluarga dan kenalan Allahyarham.
Mengulas sumbangan Allahyarham, Perdana Menteri berkata, ketekunan Pak Samad mendalami ilmu, khususnya bidang kesusasteraan, merupakan keistimewaan yang sukar ditandingi.
Malah, katanya, kekuatan sastera perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi antara asas penting dalam pembinaan jati diri bangsa dan tamadun negara.
“Saya tidak fikir mudah untuk mengganti kemahiran penguasaan ilmu terutama sastera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kedudukan dan sumbangan tokoh besar seperti Allahyarham diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan martabat kesusasteraan negara terus dipertahankan.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri serta seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke masjid kira-kira jam 10.12 malam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di HKL pada jam 6.05 petang semalam.










