KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dipersoalkan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hanya keputusan mesyuarat diminta, bukannya minit mesyuarat berkenaan.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 hanya memberikan kuasa budi bicara untuk menyahklasifikasikan dokumen dan bukannya mewajibkan tindakan itu apabila prosiding undang-undang dimulakan.
“Sejak bila pemfailan saman terhadap kerajaan mewajibkan rahsia rasmi dinyahklasifikasikan?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, perkara itu bukan membabitkan mesyuarat pentadbiran biasa kerajaan, sebaliknya sebuah badan berperlembagaan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong serta melibatkan pelaksanaan kuasa pengampunan diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, mahkamah tertinggi negara sejak sekian lama menetapkan bahawa merit pelaksanaan kuasa pengampunan diraja tidak boleh diadili melalui proses kehakiman (non-justiciable).
Malah, katanya, Jabatan Peguam Negara sendiri telah membangkitkan isu ketidakboleh-adilan melalui proses kehakiman sebagai bantahan awal terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia.
“Jadi, mengapa minit mesyuarat tersebut perlu dinyahklasifikasikan sebelum bantahan awal itu diputuskan?” soalnya.
Sehubungan itu, Dzulkifli membangkitkan beberapa persoalan termasuk pihak yang memutuskan bahawa penyahklasifikasian perlu dilakukan, sama ada terdapat perintah mahkamah yang menghendaki minit mesyuarat itu dikemukakan serta sama ada perkenan Yang di-Pertuan Agong diperoleh sebelum tindakan berkenaan dilakukan.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana dokumen berkenaan kemudiannya sampai kepada pihak media dan tokoh politik.
Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, penyahklasifikasian dokumen bagi tujuan prosiding kehakiman tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai kebenaran untuk menyebarkannya kepada umum tanpa sebarang sekatan.
“Walaupun penyahklasifikasian itu dibenarkan dari sudut undang-undang, adakah tindakan tersebut wajar dari sudut perlembagaan?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerahsiaan perbincangan yang melibatkan pelaksanaan kuasa pengampunan diraja tidak sepatutnya dikompromi semata-mata atas alasan kemudahan pentadbiran.
“Kewujudan sesuatu kuasa di bawah undang-undang tidak bermakna pelaksanaannya semestinya mempunyai justifikasi,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan persoalan utama yang perlu dijawab bukan lagi sekadar siapa yang membocorkan minit mesyuarat itu, sebaliknya mengapa dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan sejak awal.










