Gagasan Gesa KPM Salur Bantuan RM500 Kepada Pelajar STPM 2027 Tercicir Elaun

KUALA LUMPUR: Seramai 52,810 pelajar Tingkatan Enam Kohort STPM 2027 berisiko terlepas manfaat Elaun Sara Hidup RM2,500 yang bakal diperkenalkan kerajaan mulai tahun depan, sekali gus mendorong Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan bantuan khas kepada kumpulan berkenaan.

Gagasan mencadangkan bantuan secara sekali bayar (one-off) sekurang-kurangnya RM500 disalurkan bagi memastikan pelajar terbabit turut mendapat perhatian dan tidak berasa terpinggir daripada inisiatif kerajaan itu.

Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, permohonan berkenaan mengambil kira kedudukan pelajar Kohort STPM 2027 yang bakal berada di Semester Tiga ketika pemberian elaun kepada pelajar Semester Satu mula dilaksanakan secara berperingkat pada 2027.

Menurutnya, kumpulan terbabit membabitkan 52,810 pelajar di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan KPM mengemukakan permohonan khas kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk merealisasikan bantuan berkenaan.

“Langkah ini sekurang-kurangnya menjadi tanda KPM menghargai, cakna dan tidak melupakan mereka walaupun daripada Kohort STPM 2027,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Syed Anuar menyifatkan pengumuman Elaun Sara Hidup RM2,500 bagi setiap pelajar Tingkatan Enam mulai 2027 menerusi Belanjawan 2027 sebagai langkah positif kerajaan dalam memperkukuh kebajikan golongan prauniversiti.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingan pendidikan Tingkatan Enam dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, pelajar daripada keluarga berpendapatan berbeza berdepan pelbagai kekangan untuk meneruskan pengajian, termasuk menanggung perbelanjaan sendiri, membantu keluarga serta menempuh perjalanan jauh dari kawasan luar bandar ke pusat pengajian.

Justeru, bantuan tambahan RM500 itu dilihat dapat meringankan beban kewangan mereka, khususnya ketika membuat persediaan menghadapi peperiksaan STPM 2027.

BBerkaitan

Latest articles