Kerajaan Sasar Rakyat Malaysia Lindungi Aktiviti Haram Warga Asing – Zahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi amaran tindakan penguatkuasaan turut akan dikenakan terhadap rakyat Malaysia yang bersubahat atau menyediakan ruang kepada warga asing menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan, malah turut melibatkan rakyat tempatan yang bertindak sebagai ‘enabler’ atau pemudah cara kepada aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, antara kesalahan yang menjadi perhatian ialah menjalankan perniagaan tanpa lesen dan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pemilik tanah atau premis yang membenarkan kegiatan sedemikian beroperasi.

Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat berhubung pendirian rasmi kerajaan dalam membanteras kemasukan pelarian ke negara ini.

Syed Saddiq turut meminta penjelasan mengenai tindakan yang perlu diambil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selepas pelarian selesai menjalani proses transit di Malaysia.

Menjawab perkara itu, Zahid menjelaskan pemegang kad UNHCR akan ditempatkan di negara ketiga selepas proses transit selesai, selaras dengan pendekatan kerajaan yang mengambil kira tanggungjawab kemanusiaan dan prinsip hak asasi manusia.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan penempatan itu tertakluk sepenuhnya kepada keputusan negara penerima, termasuk syarat kemasukan serta jumlah pelarian yang sanggup diterima pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan berkaitan, UNHCR sebelum ini menghentikan proses pendaftaran dan dokumentasi pelarian di Malaysia susulan keputusan kerajaan untuk membangunkan sistem pengurusan pencari suaka sendiri.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bagaimanapun menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan berkenaan dan akan terus bekerjasama dalam pelaksanaan pelan hala tuju peralihan bagi memastikan perlindungan kepada pelarian tidak terjejas.

BBerkaitan

Latest articles