KUALA LUMPUR: Semua agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) diarahkan menyemak semula prosedur pelesenan bagi menghapuskan kerenah birokrasi, mempercepat kelulusan permohonan serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil dan konsisten.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, proses pelesenan tidak seharusnya membebankan pengusaha dengan prosedur yang tidak lagi relevan, sebaliknya perlu disusun supaya lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.
Pada masa sama, beliau menegaskan kelonggaran dalam urusan pelesenan tidak bermakna agensi boleh berkompromi terhadap pelanggaran peraturan, khususnya membabitkan operasi tanpa lesen, pemalsuan rekod dan kesalahan berulang.
Katanya, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan berdasarkan bukti serta memberi keutamaan kepada aktiviti yang mempunyai risiko lebih tinggi.
“Sebarang tindakan hendaklah berasaskan bukti dan diambil mengikut bidang kuasa agensi,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Konvensyen Pelesenan dan Penguatkuasaan Sektor Agrikomoditi 2026 pada Selasa.
Menurut Noraini, penyelarasan antara pelesenan dan penguatkuasaan penting bagi memastikan pertumbuhan industri agrikomoditi negara tidak terjejas, selain melindungi kepentingan pengusaha yang sudah mematuhi syarat ditetapkan.
Beliau turut meminta agensi menyemak kaedah permohonan termasuk keperluan dokumen dan penyediaan panduan supaya pemohon tidak perlu mengemukakan dokumen sama berulang kali.
Katanya, pekebun kecil dan perusahaan kecil, khususnya pemohon kali pertama, juga perlu diberikan bimbingan serta akses kepada saluran bantuan yang jelas.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata kerajaan turut memperkukuh penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan bagi memudahkan pemohon mendapatkan maklumat dokumen diperlukan, menyemak status permohonan serta menghubungi pihak berkaitan.
Sehubungan itu, konvensyen berkenaan menyaksikan pelancaran eLesen BLESS Generasi Baharu yang membabitkan Bahagian Biojisim dan Biobahan Api, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Lembaga Koko Malaysia.
Turut dilancarkan ialah Sistem MyPermit oleh Lembaga Getah Malaysia.
Mengulas prestasi sektor itu, beliau berkata eksport agrikomoditi Malaysia mencatatkan nilai hampir RM197 bilion pada 2025, sekali gus membuktikan kepentingan industri berkenaan dalam ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperluas pasaran antarabangsa perlu disokong rekod kebolehkesanan dan pematuhan kelestarian yang semakin dititikberatkan pembeli global.
Justeru, kementerian dan agensi perlu membantu pekebun kecil serta perusahaan tempatan memenuhi piawaian pasaran supaya lebih banyak produk Malaysia mampu menembusi pasaran baharu.
Beliau turut menggesa setiap agensi menetapkan sekurang-kurangnya satu penambahbaikan hasil konvensyen untuk dilaksanakan, selain menilai keberkesanannya berdasarkan tempoh pemprosesan permohonan, tindakan pembetulan dan pengurangan kesalahan berulang.
“Setiap agensi perlu menilai kemajuan ini bersama-sama bagi menentukan langkah penambahbaikan yang perlu diambil,” katanya.
Konvensyen Pelesenan dan Penguatkuasaan Sektor Agrikomoditi 2026 membawa tema Sinergi Pelesenan dan Penguatkuasaan: Memperkasa Tadbir Urus Sektor Agrikomoditi.










