KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan masyarakat India serta memperkasa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga akan meningkatkan program keusahawanan, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), di samping menyediakan lebih banyak peluang pembangunan belia masyarakat itu menerusi program mentor-mentee.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup mereka.
“(Kita) meneruskan siri sesi libat urus dengan pemimpin masyarakat India bagi menilai kemajuan agenda Kerajaan MADANI, di samping mendengar pandangan serta keprihatinan yang terus menyentuh komuniti ini.
“Saya menegaskan masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan dan Kerajaan MADANI akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkasa MITRA, meningkatkan latihan keusahawanan serta TVET, selain mewujudkan lebih banyak peluang pembangunan belia menerusi program mentor-mentee,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar turut menggesa kementerian dan agensi berkaitan memperkukuh penyelarasan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan bagi memastikan setiap peruntukan dan dasar sampai kepada penerima sasaran, sekali gus membawa perubahan ketara dalam kehidupan mereka.
Beliau berkata, jurang sedia ada, terutamanya yang membabitkan isu kemiskinan, kewarganegaraan, dan akses kepada bantuan, mesti ditangani segera serta berkesan.










