SEREMBAN: Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan adalah sah di sisi undang-undang negeri, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Beliau berkata, keputusan yang berkuat kuasa pada 20 September lalu itu selaras dengan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Berdasarkan warta Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Warta Kerajaan Negeri Sembilan yang diterbitkan pada 24 September lalu mengesahkan pembatalan pelantikan berkenaan oleh Tuanku Muhriz, dengan tarikh kuat kuasa ditetapkan pada 20 September.
Menurut warta itu, kesemua 10 Exco terbabit sebelum ini mengangkat sumpah serta menandatangani ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pembatalan dibuat selepas baginda menarik balik perkenan terhadap pelantikan mereka atas alasan melanggar ikrar taat setia yang telah dilafazkan.
Mereka yang terbabit ialah tujuh wakil UMNO, iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong); Datuk Faizal Ramli (Linggi); Datuk Zaiful Bahri Idris (Chembong); Datuk Razi Ali (Sungai Lui); Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi terdiri daripada wakil MCA Siow Kong Choon (Chennah); Fairuz Isa daripada PAS (Serting); serta Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.
Kemelut itu tercetus selepas kesemua Exco berkenaan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 15 September lalu.
Kenyataan itu kemudiannya mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim, sehari selepas itu.
Bagaimanapun, pendirian berkenaan dipertikaikan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta Jabatan Peguam Negara, sekali gus mencetuskan pertikaian mengenai kedudukan institusi diraja dan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Istana Negeri Sembilan pada 20 September lalu mengumumkan pembatalan pelantikan kesemua Exco terbabit berkuat kuasa serta-merta, dengan alasan mereka telah memungkiri sumpah jawatan dan ikrar taat setia.










