Pembangkang Tak Letih Ke Asyik Gaduh Dengan Kerajaan?, Soal PM

KUALA LUMPUR: Baik kerajaan atau pembangkang, kedua-dua belah pihak harus bekerjasama mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan beban rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujar Anwar, situasi sebaliknya pula berlaku apabila pihak lawan sering mencari gaduh dan tidak berpuas hati dengan kerajaan.

“Carilah modal untuk bantu bagaimana mahu angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Jangan duduk ajak (kerajaan) bergaduh sahaja… tak letih ke?” soalnya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, di Bandar Baru Bangi hari ini.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pembangkang harus menghentikan perbuatan melaga-lagakan rakyat berbilang kaum semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik mereka.

“Seperti juga isu yang diuar-uarkan pembangkang mengenai persempadanan semula. Perkara itu tidak berbangkit pun, hanya untuk melaga-lagakan, nak bagi orang lagi marah, orang Cina lagi marah.

“Ia tidak berbangkit dan dia (pembangkang) tidak faham perlembagaan. Perlembagaan membolehkan kita mengkaji semula persempadanan itu pada akhir 2026 sahaja,” katanya lagi.

Reaksi Anwar itu merujuk kepada dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya, DAP akan mengaut kuasa yang besar tidak lama lagi apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan.

Dakwa Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, jika keadaan itu berlaku maka ini akan melemahkan kaum Melayu sehingga mereka akan terus hilang kuasa di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles