MB Perlis Akui Beri Keterangan Kepada SPRM, Nafi Ditahan Badan itu

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli tidak ditahan sebaliknya dibenarkan pulang selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkait tuduhan salah guna kuasa dalam projek pembekalan.

“MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan,” kata pengendali Facebook Shukri.

Kenyataan ringkas terbabit menafikan laporan portal Malaysiakini yang sebelum ini melaporkan bahawa pesuruhjaya PAS Perlis itu ditahan oleh SPRM ketika hadir memberi keterangan hari ini.

Sementara itu, di dalam hantaranya yang terbaru shukri berkata Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

Tiada apa yang perlu dibimbangkan. InsyaAllah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda katanya.

Difahamkan Shukri tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9.50 pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan kehadiran Shukri ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu.

Minggu lalu, anak Shukri antara lima individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan berjumlah RM600,000. Semuanya sudah dibebaskan dengan jaminan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga kini yang menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja tidak dilaksanakan.

Shukri yang mula menjadi menteri besar pada Disember 2022, sebelum ini dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara SPRM untuk menjalankan siasatan dan tiada prasangka sekiranya anaknya terbukti bersalah.

Katanya, apa berlaku kepada dirinya dianggap “ujian” selain mengakui kelemahannya kerana “terlalu baik”, serta meletakkan “kepercayaan kepada semua orang”.

BBerkaitan

Latest articles