Dua ahli politik terkenal di Melaka antara 10 individu disekat ke luar negara selepas gagal membayar tunggakan cukai mencecah puluhan ribu ringgit sejak beberapa tahun lalu.
Pengarah LHDN negeri, Mohd. Shahriz Ramli berkata, tindakan sekatan perjalanan terhadap kedua-dua individu berusia 40-an itu dilakukan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967/Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
“Kedua-dua mereka bagaimanapun dibenarkan meneruskan perjalanan ke luar negara selepas melunaskan keseluruhan bayaran tunggakan itu tahun ini.
“Tunggakan berjumlah puluhan ribu ringgit itu adalah jumlah terkumpul sejak beberapa tahun lalu selepas mereka diberikan penjadulan semula bayaran secara ansuran,” katanya lapor Malaysiagazette
Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus LHDN Melaka bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Pejabat LDHN negeri di Ayer Keroh hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Pendika, Amir Mamat.
Mengulas lanjut, Mohd Shahriz berkata, LHDN tidak akan teragak-agak memburu mana-mana individu yang gagal melunaskan cukai tanpa memandang jawatan dan pangkat mereka.
\
“Ahli potitik sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan tidak sewajarnya mereka meletakkan ego kononnya berjawatan tinggi untuk culas daripada undang-undang.
“LHDN akan terus memburu mana-mana individu yang enggan membayar cukai termasuklah wakil rakyat kerana mereka adalah rakyat ‘lapisan’ pertama yang sepatutnya mempunyai kesedaran ini,” tegasnya.
Tambah beliau, selain ahli politik, pihaknya turut mengesan beberapa individu termasuk pengarah syarikat yang sengaja melewatkan pembayaran cukai.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shahriz memberitahu, LHDN negeri berjaya mengutip cukai berjumlah RM1.91 bilion pada tahun lalu dan menyasarkan RM2.1 bilion pada tahun ini