KUALA LUMPUR: Hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf dianggap terlalu berat dan sepatutnya digantikan dengan denda, demikian hujah peguam bela wanita itu di Mahkamah Tinggi, semalam.
Peguamnya, Tiara Katrina Fuad, berkata hukuman berkenaan secara tidak langsung menghukum Ismanira atas kecederaan yang dilakukan pihak ketiga terhadap anak lelakinya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang ditemukan meninggal dunia pada Disember 2023.
Menurutnya, hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini menerima bahawa Ismanira tidak mencederakan sendiri kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Katrina berkata kecederaan serius pada Zayn Rayyan tidak seharusnya dijadikan faktor utama untuk memberatkan hukuman terhadap Ismanira mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ini bermakna dia dihukum atas keganasan yang dilakukan oleh pihak ketiga yang tidak dikenali,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan beberapa aspek siasatan, termasuk keterangan bekas pegawai penyiasat yang menerima panggilan memaklumkan Zayn Rayyan ditemui di Blok R.
Katanya, identiti serta nombor telefon pemanggil tidak direkodkan dalam diari siasatan.
“Ini satu lagi petunjuk penting yang tidak disiasat,” katanya.
Ismanira didakwa melakukan kesalahan antara tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023 di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai dan kawasan anak sungai berhampiran.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang selepas dibawa pulang dari sekolah pada 5 Disember, sebelum mayatnya ditemukan kira-kira 200 meter dari kediaman mereka pada hari berikutnya.
Katrina turut berhujah bahawa keterangan sedia ada tidak membuktikan tindakan Ismanira ketika itu memenuhi takrif pengabaian jenayah.
Menurutnya, tindakan membenarkan Zayn Rayyan berjalan di belakangnya tidak boleh dinilai sebagai pengabaian hanya berdasarkan apa yang berlaku selepas kanak-kanak itu hilang dan ditemukan cedera.
Beliau juga mempersoalkan kesimpulan pegawai penyiasat kanan, Deputi Superintenden Mohd Hafizee Ismail, yang mengklasifikasikan tindakan Ismanira sebagai pengabaian.
“SP28 tidak mengenal pasti sebarang fakta hasil siasatan yang menunjukkan bahawa perayu telah berhenti mengawasi mangsa, dengan sengaja meninggalkannya tanpa pengawasan atau bertindak dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal,” katanya.
Sementara itu, peguam bersama Lavanesh Haresh berkata hukuman penjara yang sedang dijalani Ismanira terlalu berat dan memohon ia digantikan dengan denda.
“Dia telah berada di penjara selama 10 bulan. Ini hukuman kedua terhadapnya selepas kehilangan Zayn Rayyan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman lebih berat, termasuk mengambil kira kedudukan Ismanira sebagai ibu kepada mangsa.
Ismanira kini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun itu, manakala pendakwaan turut mengemukakan rayuan balas bagi mendapatkan hukuman lebih berat.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan 28 September untuk keputusan rayuan berkenaan.










