Peguam Harith Iskander Tarik Diri Dalam Saman Rosmah

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah membabitkan pelawak Harith Iskander dan Datin Seri Rosmah Mansor menyaksikan perkembangan baharu apabila peguam yang mewakili pelawak itu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kes berkenaan.

Permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk melepaskan diri daripada mewakili Harith akan dibawa ke Mahkamah Tinggi pada 24 November ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Arziah Mohamed Apandi.

Beliau berkata, permohonan berkenaan akan didengar menerusi sidang video menggunakan aplikasi Zoom.

Sangeet ketika dihubungi media turut mengesahkan keputusan pihaknya untuk tidak lagi mewakili Harith dalam kes berkenaan.

Untuk rekod, Rosmah, 75, memulakan tindakan undang-undang terhadap Harith atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, atas dakwaan menjadikan penampilan fizikalnya sebagai bahan jenaka dalam sebuah persembahan komedi.

Menerusi pernyataan tuntutan, Rosmah mendakwa insiden itu berlaku ketika persembahan Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di Swiss-Garden Hotel, Melaka, pada 17 Januari lalu.

Beliau mendakwa gambar dirinya dipaparkan selepas Harith menunjukkan imej makhluk menyeramkan termasuk toyol, pontianak dan pocong sebagai sebahagian daripada persembahan tersebut.

Rosmah turut mendakwa kenyataan mengenai seseorang yang kelihatan menakutkan apabila dilihat melalui cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap merujuk kepada dirinya.

Dakwaan itu, menurut Rosmah, membawa maksud rupa parasnya disamakan dengan makhluk menyeramkan sehingga mengundang ejekan dan penghinaan daripada penonton yang hadir.

Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai penghinaan terhadap maruah dan penampilan fizikalnya.

BBerkaitan

Latest articles