Polis Perlu Nilai Keadaan Sebelum Lepaskan Tembakan – Shazeli

SHAH ALAM: Anggota polis tidak boleh bertindak melepaskan tembakan secara terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan persekitaran, khususnya di lokasi sempit yang turut dipenuhi orang awam dan anggota agensi lain.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata setiap tindakan perlu dibuat berdasarkan penilaian situasi di lokasi kejadian meskipun polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan.

Menurutnya, keputusan akhir tetap bergantung kepada anggota yang berdepan situasi berkenaan, termasuk menilai tahap ancaman serta kesesuaian menggunakan senjata api.

“Perkara ini penting khususnya dalam situasi yang memerlukan anggota membuat keputusan segera dan tepat ketika berdepan ancaman serangan secara langsung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas serangan terhadap Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang dalam operasi di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, Rabu lalu.

Shazeli berkata, keadaan premis yang sempit serta kehadiran anggota daripada beberapa agensi lain ketika operasi dijalankan turut menjadi kekangan dalam menentukan tindakan sesuai.

Katanya, anggota polis juga perlu membuat keputusan berdasarkan latihan dan kemampuan melaksanakan sesuatu tindakan mengikut keadaan semasa, memandangkan SOP tidak mampu merangkumi setiap kemungkinan yang berlaku.

Mengulas keperluan latihan tambahan, beliau berkata polis sentiasa melaksanakan kursus ulang kaji dan latihan dalam perkhidmatan setiap tahun bagi mempersiapkan anggota menghadapi pelbagai senario operasi.

“Kita tidak menunggu insiden sebegini berlaku barulah latihan dijalankan. Pelbagai senario turut diterapkan bagi mempersiapkan anggota,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shazeli berkata siasatan berhubung serangan itu masih diteruskan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.

Beliau turut memaklumkan anggota yang cedera kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan menyambung semula pergelangan tangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Suspek yang menyerang anggota polis terbabit pula maut selepas ditembak ketika cuba diberkas berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari lokasi kejadian, antara jam 7.30 hingga 8 malam kelmarin.

Suspek dilaporkan sekali lagi bertindak agresif dengan menyerang polis menggunakan parang sebelum beberapa das tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri dan menahannya.

Suspek kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles